*teman setia*

Monday, 21 November 2011

_nota untuk suami_

“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



“Kerja, kerja, dan kerja. Aku bosan dengan semua ini.”, getus hati kecil Izhar yang merasakan hidupnya sekarang sunyi dan sepi.
Izhar merupakan seorang peguam di mahkamah syariah dan bertugas sebagai seorang pendakwa raya.
“Hari-hari berhadapan dengan kes-kes penceraian, khalwat…”, bagaikan tertekan dengan kesibukan kerjayanya sehingga diri sendiri seakan tidak terurus.
“Hidup bersahabat memang berbeza dengan hidup berteman…”, tiba-tiba sahaja tersentuh hati Izhar untuk mencari pasangan setelah sekian lama dia hidup bersendirian.
Dengan ini, bermulalah kisah Si Ustaz dalam mencari pasangan hidupnya. Dengan langkahnya pertama, usaha Izhar telah bertemu dengan seorang gadis. Namanya Alfatunnisa’. Cantikkan namanya, begitulah juga parasnya, secantik namanya. Gadis ini adalah rakan sekampus kawan Izhar semasa menuntut di Jepun dahulu.
Alfatunnisa’ adalah anak orang ternama, anak Tan Sri Ahmad. Gugup juga Izhar apabila hendak berhadapan dengan Tan Sri. Tetapi itu dulu, sebelum Izhar kenal dengan Tan Sri. Sekarang hubungan mereka nampaknya sudah rapat seperti saudara sendiri. Mungkin itulah yang dikatakan jodoh. Sebenarnya perkenalan dengan gadis ni bukanlah lama, sekejap saja. Mereka memang merancang untuk mendirikan rumahtangga bersama namun semakin lama dikenali, gadis itu seakan sudah banyak berubah.
“Mungkin ini bukan jodohku, aku tak tahu erti cinta…adakah aku tertarik padanya ataupun pada hartanya…Nauzubillah, ya Allah..selamatkan diriku daripada godaan syaitan…”, hati Izhar berbisik dan berdoa sendirian.
Pada langkah pertama, Izhar gagal menemui cinta hatinya. Pencarian Izhar tidak berakhir hanya di situ. Akhirnya semasa menguruskan kes anak guamannya, Izhar tertarik pula dengan anak kepada anak guamannya. Surina namanya, berasal daripada keluarga yang sederhana, Orangnya bijak bekata-kata. Akhirnya Izhar terpancing jua. Sesungguhnya Allah mengetahui segala-galanya.
Pada suatu hari, Izhar terserempak dengan Surina di salah satu pasar raya berdekatan bersama seorang jejaka, mesra sekali lagak mereka. Setelah disiasat, sungguh tidak disangka-sangka bahawa Surina yang sangat petah dan bijak berkata-kata selama ni sanggup berdusta dan mengambil kesempatan. Surina sebenarnya bekerja di kelab malam.
“Astaghfirullahal azim.. Alhamdulilah, daku bersyukur padamu ya Rabbi, Engkau menyelamatkanku daripada segala bencana, sekiranya aku berkahwin dengan keturunan seperti ini, amatlah pedih untuk aku melalui sisa-sisa hidup ini…”, syukur Izhar atas segala petunjuk daripadaNya.
Setelah kecewa dengan gelagat cinta yang baru ditemui itu, Izhar sepertinya sudah putus harapan. Bagi Izhar, biarlah masa yang menentukan kerana dia yakin akan ketentuan Allah.
Bulan silih berganti, hari demi hari, putaran jam meninggalkan masa-masa yang lalu. Izhar semakin sibuk dengan menguruskan firmanya. Suatu hari, Izhar menghadiri mesyuarat untuk satu program yang disertainya, program “Selamatkan Jiwa”. Mesyuarat pada hari itu pula melibatkan seluruh mahkamah syari’ah di kawasan tersebut. Dalam kalangan ahli jawatankuasa yang datang, Izhar terpandang ke arah seorang wanita yang dirasakan amat berbeza dengan wanita-wanira lain. Sangat pendiam orangnya.
Diam-diam ubi berisi, namun apabila melontarkan idea, cukup bernas! Memang cantik orangnya. Sopan dan berjubah adalah penampilan yang dipilih. Tidak hairanlah kerana gadis ini merupakan alumni Universiti Al-Azhar, dan ayahnya adalah imam di kampungnya. Izhar akhirnya mengambil kata putus untuk menulis sepucuk surat untuk menyatakan isi hatinya.
Salam perkenalan buat saudari Sa’adatul Sakinah…
Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya meminta izin daripada saudari untuk mengenali dengan lebih dekat lagi. Saya amat tertarik dengan saudari, pandangan mata yang penuh keihklasan melontarkan idea-idea yang bernas untuk melakukan kebajikan di jalan Allah. Mungkin Allah telah mempertemukan kita, dalam situasi yang sama.
Dirimu yang sempurna, memperjuangkan kalimah suci Allah membuatkan saya tertarik dengan saudari. Tidak sepertimana perempuan-perempuan di luar sana yang pernah saya kenali. Andainya diri tidak berpunya, izinkan saya untuk melamar awak sebagai isteri saya yang sah.
Ikhlas, Izhar…
Wassalam saudaraku Muhd Izhar…
Buat saudara yang baru ku kenali, sesungguhnya pertemuan dan perpisahan adalah milik Allah, Dialah yang berhak mengaturkan segalanya. Sudi-sudikanlah menghayati nota-nota yang ku tulis buatmu…
Wahai saudaraku…Cinta pertama mengukir peristiwa, menguggat pelbagai perkara. Ketahuilah saudara, jangan mempercayai pada pandangan mata, ia hanya pandangan syaitan durjana. Usah memujiku lebih darinya, kiranya diri ini masih kurang seadanya, idea hanyalah pandangan manusia, belum tentu betul pada pandangan yang Esa. Sempurnaku tak sempurna Nabiku, kerana aku hanya manusia biasa, dan ketahuilah sahabat, manusia tidak akan pernah sempurna.
Wahai saudaraku…janganlah kau membanding-bandingkan diriku dengan insan lain, sesungguhnya Allah tidak menyukai hambaNya mempersoal mengenai keburukan mereka. Kiranya engkau membenci kemaksiatan, tugasmu adalah membawa mereka berhijrah dan tidak sesekali berhujah untuk menyemarakkan lagi hati mereka.
Kirannya aku jatuh cinta padamu, itu kerana aku jatuh cinta pada kesederhanaanmu, dan kiranya aku membenci dirimu, tidak bermakna aku membenci dirmu, tetapi aku membenci egomu. ingatlah wahai Adam, manusia adalah sama, hiris tangan, pastinya darah yang mengalir adalah merah. Hanya Allah yang dapat membezakan hambanya, dan kita sebagai hamba tidak layak untuk membuat penilaian.
Andainya kamu mencintaiku kerana Allah yang maha Pencipta..Sesungguhnya aku belum berpunya, diriku hanyalah untuk Dia. Aku menerima lamaranmu dengan hati yang terbuka, Kiranya ini menambahkan ketaqwaanku padaNya. Inilah nota-nota cintaku buatmu lelaki yang akan bergelar suami…
“Astaghfirullahal ‘azim… Astaghfirullahal ‘azim… Astaghfirullahal ‘azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Sesungguhnya selama ini aku telah tewas dalam permainan cinta. Terlampau mengejar cinta, aku telah melakukan dosa pada mereka. Sesungguhnya diriku kerdil di hadapanMu ya Rabbi. Aku sememangnya tidak layak untuk menghukum manusia, sesungguhnya aku seorang hamba seperti mereka..”, doa Izhar selepas menunaikan solat tahajjudnya.
Izhar kini bersyukur kerana telah dikurniakan oleh Allah seorang isteri yang solehah, mampu memandu hidupnya dan saling melengkapi dan memperbaiki dalam kesilapan masing-masing. Dia tersedar akan kesilapannya terhadap Surina dan Alfatunnisa yang gagal menemukan mereka kepada kebenaran.
Yakinlah bahawa sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah dan masanya pasti akan tiba…

kredit:tentang cinta

Saturday, 19 November 2011

Iman VS Nafsu


Ketika membahagiakan diri sendiri, pernahkah kita terfikir untuk membahagiakan orang lain?
Perlu kita renung dalam-dalam dan muhasabah diri.
Di dalam kehidupan kita seharian, berapa ramai orang yang telah kita bahagiakan?
Telah kita penuhi hak mereka dengan menolong ketika mereka perlukan bantuan?
Adakah kita telah memberi nasihat, ketika mereka memerlukannya?
Adakah kita telah meminjamkan wang ketika mereka benar-benar di dalam kesempitan?
Tidak kiralah siapakah mereka itu, keluarga sendiri, jiran, sahabat-sahabat, pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita, penyapu sampah di pasar, ataupun orang yang tidak pernah kita kenal atau berjumpa sebelum ini.
Kehidupan bukan sekadar untuk makan, minum, bekerja, berumah tangga, melancong dan berseronok, tetapi lebih daripada itu, iaitu memanfaatkan kehidupan untuk mendapat keredhaan Al-haqq 'Azza wajjalla selain mengecapi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Sabda Rasulullah SAW :
"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, berakhlak mulia, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya, serta orang yang umurnya panjang tapi banyak amal kebajikannya."
Dalam apa jua kerja dan ibadah yang dilakukan, semua diantara kita mahukan yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati sebagai laluan awal untuk mengecapi nikmat kebahagiaan; suatu fitrah yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.
Namun, kadang-kala kayu ukur yang kita gunakan dalam menilai apa yang sedang kita lakukan kurang sesuai. Yang halal itu jelas, dan yang haram juga begitu, namun bila berada di pertengahan halal dan haram, kadang-kala kita cenderung untuk menghalalkannya.
Dalam kehidupan ini, kita selalu berperang dengan diri sendiri untuk menggapai kebahagiaan.
Pertarungan antara iman dan nafsu!
Sebaik-baik manusia, sudah pasti pernah melakari sejarah hidup yang terbina di atas kekalahan iman dalam pertarungan. Nuasa berdengung seketika, dalam keluar naik nafas kita, ke manakah pilihan yang harus dipilih.
Namun selagi nafas belum berhenti dan menyedari pertarungan belum berakhir, jangan sesekali kita berputus asa untuk memilih dan melakukan yang terbaik mengikut kayu ukur keimanan kita. Teruslah berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.
Walau sesekali kita rebah, bangkitlah segera kerana rahmat-Nya cukup luas. Sewaktu menjalani hidup ini, tiada yang lebih baik daripada dua kebajikan. Beriman kepada Allah SWT, itu yang pasti dan memberi manfaat kepada orang lain.
Manusia yang paling baik, adalah seorang yang dermawan dan bersyukur dalam kelapangan dan kesenangan, yang sering mendahulukan orang lain serta selalu bersabar ketika di dalam kesulitan..
Hadis Rasulullah SAW:
"Tidaklah seorang penzina itu berzina tatkala dia sedang beriman, tidaklah seorang pencuri itu mencuri tatkala dia sedang beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak tatkala dia sedang beriman." (Riwayat Bukhari).
Selagi iman bertapak kukuh di hati, selagi iman tidak tercabut selama itu manusia akan tetap menolak ajakan nafsu.

>iluvislam<

Monday, 7 November 2011

Hati Milik Ibrahim


“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim,” bicara tasyahhud kita saban masa.





“Kami berpagi-pagian di atas fitrah al-Islam, dan kalimah al-Ikhlas, dan agama Nabi kami Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam, dan di atas jalan agama Ibrahim yang Haneef, tidak sekali-kali baginda itu dari kalangan manusia yang menyekutukan-Mu” zikir kita mengiring terbitnya fajar pagi.
Ibrahim bapa sekalian Anbiya’.
Aidiladha mengangkat syiar memperingati pengorbanan dan kemuliaannya.
Ibrahim pemilik Hati yang Saleem.
Hati yang sejahtera.
QALBUN SALEEM
Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran tentang hati yang sejahtera () sebanyak dua. Sebutan yang pertama adalah berkenaan dengan hati yang sejahtera di dunia, manakala sebutan yang kedua menyentuh tentang Akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Saafaat [37: 83-84]:
“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya  Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera”
Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik tolak Ibrahim Alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan Baginda AS sebagai seorang Rasul.
Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Shu’araa’ [26: 88-89]:
“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”
Ayat kedua ini pula menyatakan tentang kemutlakan hati sebagai satu-satunya bekalan bermanfaat yang dibawa oleh seseorang semasa mengadap Allah Azza wa Jalla di hari Akhirat nanti.
HATI YANG SEJAHTERA
Ia adalah terjemahan Bahasa Melayu kepada istilah asalnya Qalbun Saleem…. Hati yang bernilai tinggi itu diistilahkan sebagai hati yang ‘Saleem’. Ia berasal daripada perkataan umbi Sa-Li-Ma… yang menghasilkan makna linguistik:
i. Selamat
ii. Penyerahan / kepasrahan / keakuran
Oleh yang demikian, hati yang sejahtera ini terbentuk dengan asasnya yang utama iaitu penyerahan dan ketundukan yang mutlak kepada Allah SWT. Justeru itu hati yang sempurna tidak disebut sebagai ‘hati yang bahagia’ atau(Qalbun Sa’eed), bahkan tidak juga ‘hati yang sihat’ atau (Qalbun Saheeh)! Ini adalah kerana, kedua-kedua karakter itu hanyalah serpihan daripada makna yang terkandung di dalam pengertian hati yang sejahtera (Qalbun Saleem).
Memahami maksud yang terkandung di dalam makna hati yang sejahtera adalah amat penting kerana ia adalah kesimpulan kepada bekalan hidup dan bekalan akhirat. Bagi kehidupan di dunia, Allah SWT menyatakan bahawa, Ibrahim Alayhi as-Salaam, khalilNya, mencari Rububiyyah dan Uluhiyyah, menggariskan kebenaran dan menetapkan langkah di dalam perjuangan Baginda sebagai Rasul dengan berbekalkan hati yang sejahtera.
Firman Allah SWT:
“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” [Al-Saaffaat 37: 83-84]
HATI YANG SEJAHTERA DI DUNIA
Ulama’ Tafsir telah menghuraikan tentang pengertian atau sifat-sifat yang terkandung di dalam hati yang sejahtera itu. Ia adalah hati yang menyerah kepada Allah, tunduk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT. Apabila hati itu menurut segala kehendak Penciptanya, maka dengan sendirinya ia terpelihara daripada segala yang mencemari pengabdiannya kepada Allah. Menurut Qatadah, ia adalah hati yang bebas merdeka daripada syirik dan nifaq. [Fath al-Qadeer, Ash-Shaukani, j4 ms. 460, Dar al-Kalim at-Tayyib, 1998]
Hati yang bebas merdeka ini adalah hati yang murni dengan fitrahnya. Ia adalah hati yang suci bersih dari syirik yang mengelirukan manusia tentang ketuhanan. Ia juga adalah hati yang lepas bebas dari sifat nifaq yang melahirkan prejudis dan karakter dusta dan menipu. Menipu Alllah sedangkan yang sebenar-benarnya ditipu itu adalah dirinya sendiri.
HATI SEJAHTERA SEORANG YANG MENCARI KETUHANAN
Ibrahim Alayhi as-Salaam mendapat keupayaan untuk menemui jawapannya terhadap ketuhanan kerana Baginda membawa hati yang sejahtera, iaitu hati yang suci dari prasangka. Selepas kukuh berpegang dengan hidayah Allah, hati yang sejahtera itu juga tunduk sepenuhnya kepada ketentuan Allah yang memilih Baginda sebagai Rasul. Baginda tidak mempertikaikan pemilihan itu walaupun dengan ketentuan Allah tersebut, bererti Baginda akan berhadapan dengan musuhnya yang paling sukar iaitu bapanya sendiri, si pengukir berhala. Hati yang sejahtera tidak prejudis atau membantah-bantah ketentuan Allah.
Tegasnya, hati yang sejahtera bagi seorang yang sedang mencari ketuhanan bererti hati yang tiada prasangka atau prejudis terhadap Tuhan. Hati seperti ini adalah kunci utama untuk menemukan pemiliknya kepada kebenaran kerana ia membuka luas-luas pintu kepada segala input untuk dianalisa dengan adil dan saksama. Bagi seorang manusia yang sedang ‘mencari Tuhan’, hatinya tidak boleh prejudis. Prejudis adalah perkataan yang datang dari kalimah Bahasa Inggeris iaitu ‘prejudice‘ yang terbentuk dari dua perkataan iaitu ‘pre’ dan ‘judgement’Prejudice ini bermaksud membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang sedang di dalam pertimbangan, sebelum sampai kepadanya bukti-bukti dan maklumat yang lengkap. Ia telah membuat sekatan mental, lantas menyempitkan pintu dirinya untuk menganalisa.
Kerana itulah, Allah SWT memilih untuk menjadikan bangsa Arab sebagai kader umat Muhammad SAW yang pertama. Bangsa Arab Jahiliah tidak berpemikiran sebagaimana kaum Rom dan Parsi yang sudah mempunyai mindset berasaskan falsafah dan kepercayaan mereka yang sudah begitu tersimpul dan berakar umbi. Bangsa Arab Jahiliah mensyirikkan Allah dalam bentuk yang mudah, hati mereka senang untuk sampai kepada hati yang sejahtera kerana mereka tidak prejudis kepada ketuhanan. Tiada mulhid atau atheist di dalam masyarakat mereka bahkan semuanya percaya kepada Rububiyyah Allah. Mereka mengiyakan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan hujan dan mencipta langit dan bumi. Namun yang masih belum selesai hanyalah Uluhiyyah dan disiplin pengabdian mereka kepada Allah.
Seorang saintis yang luhur di dalam pengkajiannya, akan dengan mudah sampai kepada ‘menemui Tuhan’. Namun bagi saintis yang sudah ada mindset yang prejudis, hatinya akan sentiasa dilarikan daripada akur kepada Allah. Seorang pakar kejuruteraan genetik merasakan kewujudan Tuhan sudah tidak relevan kerana menemui upaya untuk mencipta makhluk mengikut kehendak dirinya. Tetapi prasangka dan prejudis telah membutakan dirinya dari suatu hakikat bahawa manusia yang paling cerdik hanya mampu mencipta sesuatu daripada ada kepada ada. Namun Tuhan mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Sesuatu yang mustahil bagi manusia, walaupun sekadar sebelah kepak nyamuk!
HATI SEJAHTERA SEORANG MUKMIN
Manakala bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang sejahtera, hatinya akur, tunduk dan patuh kepada segala ketetapan Allah SWT. Keputusan Al-Quran dan Sunnah NabiNya diterima dengan hati yang tunduk pasrah dan tidak lagi berbantah-bantah dan mempersoalkan “kenapa mesti aku?”, “kenapa mesti begitu” dan sebagainya.
Mungkin hati yang sejahtera inilah yang gagal dimiliki oleh seseorang yang terlalu gemar mempersoalkan suruhan dan larangan Allah ke atas dirinya. Hatinya bukan hati seorang hamba, kerana fitrah seorang hamba adalah akur sahaja kepada suruhan tuannya. Hamba Allah berasa gembira, sejahtera dengan segala apa yang diperuntukkan Allah kepadanya. Jika lelaki diwajibkan dan digesa solat berjemaah di masjid, hatinya dengan ghairah mahu patuh kerana penyerahan hatinya kepada Allah menjadikan dirinya terbuka untuk “menerima apa sahaja” dan diperlakukan semahunya oleh Tuan iaitu Tuhannya.
Namun, seorang hamba yang hilang sifat kehambaan, lebih suka mencari hak-hak untuk manfaat dirinya berbanding dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sering mencari “APA UNTUK AKU” dan lupa kepada “AKU UNTUK APA”.
Hati yang sejahtera, adalah hati yang tidak malas dari beribadah. Ia adalah hati yang bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas, serta amat sedikit mahu ingat kepada Allah Tuhannya [AL-Nisaa; 4: 142]
Hati yang sejahtera ini jugalah yang melahirkan suatu keazaman yang kukuh umpama keazaman Ulul Azmi seperti Ibrahim Alayhi as-Salaam yang melaksanakan perjuangannya di Iraq, Palestin, Mesir dan Hijaz dengan penuh sabar, ta’aluq cinta khullah yang mutlaq kepada Allah SWT.
Sesungguhnya hati yang sejahtera ini adalah hati yang berjaya memenuhi tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
MENGAPA HATI?
Manusia itu memiliki pelbagai unsur di dalam dirinya. Manusia itu adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Namun keseluruhan kerajaan diri manusia itu, rajanya adalah hati. Akal yang beroleh maklumat menghasilkan ‘tahu’. Akan tetapi manusia tidak bertindak mengikut apa yang dirinya tahu. Pengetahuan tidak menjana tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau sikap yang konsisten. Lazimnya manusia akan bertindak berdasarkan kepada kehendak hatinya. Hati itu akan membuat keputusan atas nasihat sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.
Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah natijah kepada kerja hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan ‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia.
HATI YANG SEJAHTERA DI AKHIRAT
Firman Allah SWT:
“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” [AL-Shu'araa' 26: 88-89]
Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.
Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.
Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.
Itulah hati seorang IBRAHIM, yang kita tinggikan namanya pada hening AIDILADHA ini.
Selamat Hari Raya Aidiladha…!

 copy from:SAIFULISLAM.COM